Nasib Syarikat Bumiputera Melayu Islam

SYARIKAT BUANG 90,000 LITER SUSU
Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
MUADZAM SHAH: Sebuah syarikat pengeluar susu segar terbesar di negara ini terpaksa menanggung kerugian beratus ribu ringgit selepas terpaksa membuang lebih 90,000 liter susu segar berikutan tindakan pengilang produk tenusu menolak bekalan sejak awal bulan ini.

Syarikat First Dairy Farm (M) Sdn Bhd (First Dairy), milik penuh Bumiputera menganggarkan mengalami kerugian hampir RM250,000 kerana terpaksa mengambil tindakan drastik membuang semua susu yang ditolak pengilang.

Pengarah Urusan First Dairy, Datuk S Muhd Alwi Abdullah, berkata walaupun mengalami kerugian besar, namun syarikat terpaksa melakukannya kerana bekas simpanan tidak dapat menampung bekalan yang ditolak pengilang.

MUHD Alwi melupuskan susu segar yang ditolak pengilang hasil tenusu, sambil diperhatikan pelatih di syarikatnya.

Sebenarnya, pada awal bulan ini, kita sudah membuang kira-kira 75,000 liter susu segar bernilai lebih RM200,000. "Hari ini (semalam), kita terpaksa melupuskan sebanyak 13,500 liter susu segar dan terpaksa membuang sebanyak 3,000 liter lagi kerana penghantaran susu ke kilang ditolak sekali lagi," katanya pada sidang media di ladangnya, di sini, semalam.

Muhd Alwi mendakwa pihak pengilang memberi pelbagai alasan menolak penghantaran susu segar syarikat itu, termasuk mendakwa ia sudah dicemari bakteria sedangkan ujian dilakukan pihaknya mendapati susu berkenaan masih dalam keadaan baik.

"Malah, ujian yang kita lakukan selepas 38 jam susu berkenaan dikembalikan kepada kami mendapati susu berkenaan masih dalam keadaan baik. "Sehubungan itu, saya tidak faham mengapa mereka mendakwa susu yang kami hantar tidak menepati kelulusan kualiti dikehendaki sedangkan sebelum ini pun, kami tidak berdepan dengan masalah itu," katanya.

Muhd Alwi berkata, jika keadaan itu berterusan, ladangnya akan berdepan dengan masalah besar kerana tidak dapat menjual bekalan susu kepada pengilang seterusnya menjejaskan pengeluaran susu segar. Katanya, keadaan itu bukan saja memberi kesan kepada ladang First Dairy, tetapi juga kepada keseluruhan industri susu segar tempatan, terutama yang membabitkan pembekal susu segar kecil.

Malah, katanya, First Dairy berdepan kemungkinan menghentikan operasi jika masalah itu tidak dapat ditangani dalam masa terdekat. Beliau berkata, ladang itu mengeluarkan kira-kira 6,000 liter susu segar sehari dan ia dijangka meningkat sehingga 10,000 liter sehari pada masa akan datang. Muhd Alwi berkata, beliau difahamkan pengilang produk berkaitan susu segar di negara ini kini lebih berminat mendapatkan bekalan susu segar yang diimport kerana harganya didakwa lebih rendah.

Fikir-fikirkanlah, nasib syarikat orang melayu Islam apabila pemborong, peruncit, pengilang dan pasaran ekonomi dikuasai oleh orang bukan Islam.